Majlis Iftar AIC, terima kasih sahabat yg hadir!
Majlis berbuka puasa AIC bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya diadakan dengan kehadiran hampir 200 orang tediri daripada Anak Muda, Pimpinan dan Mahasiswa dari beberapa Universiti tempatan. Sambutan daripada mahasiswa amat mengalakkan.

Seusai dengan itu, sesi perkenalan dan sembang santai memulakan acara tepat jam 6.15petang membicarakan tentang iklim politik semasa dan perkembangan negara. Datuk Seri Anwar memetik keyakinan mengenai liberalisasi dan reform pemerintahan Indonesia yang dilakukan BJ Habibie dan membandingkan dengan Malaysia.
Sembang santai berterusan dengan soal jawab, sehingga waktu berbuka dengan menjamah kurma dan juadah ringan. Seterusnya sembahyang magrib diimamkan Datuk Seri Anwar sendiri, dan hadirin menjamu selera dengan makanan yang lebih berat. Disambung dengan sembahyang isyak dan terawih.

Seterusnya, Beliau memulakan Wacana yang cukup menyegarkan, menekankan penghayatan ramadhan sebagai madrasah ruhiyyah, mengimbau gagasan yang ditinggal Ustaz Fadhil Noor dan pertemuan dengan Fathi Yakan di Riyadh dan Umar Telmasani di Kaherah, gagasan Al-Biruni dan Akbar.
Beliau memetik Armatyha Sen (Pemenang Nobel Ekonomi) dan beberapa Sarjana mengenai liberalisasi ekonomi yang menekankan perlaksanaan bersederhana, merupakan kunci “serampang dua mata” bagi menguruskan ekonomi semasa beliau menjawat Menteri Kewangan selama 8 tahun.
Mengimbau bacaannya di Penjara mengenai makasid syariah, sejarah pertembungan dan pencerahan barat dan karya genius Shakespeare serta beberapa dialog Filasuf agung dunia.

Beliau juga menyentuh, Ronggo Warsito seorang pujangga besar Jawa dan karya hebatnya Serat Keladita menekankan puisi Jaman Edan.
Datuk Seri Anwar Menekankan tangungjawab Mahasiswa dan betapa perlunya Universiti tempatan mempunyai Barisan Profesor yang idealis dalam membentuk masa hadapan negara. Beliau membidas kebejatan golongan pendidik sekarang yang gentar akan seruan pemerintah.
Sesi berakhir dengan soal jawab oleh beberapa mahasiswa, beliau menekankan betapa peri pentingnya masa di kampus. Majlis bersurai tepat pukul 10.30 malam dengan jamuan ringan.
Pihak AIC mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua hadirin yang turut serta dalam majlis yang diadakan. Ribuan terima kasih juga kepada Pihak Tuan Rumah dan Pejabat Datuk Seri yang menyelenggarakan makanan dan tempat dengan sempurna.






